Apakah itu Penipuan Macau?

Apakah itu Penipuan Macau?

Apakah ini? 
Mangsa mungkin menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (RMCD) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Penipu menggunakan taktik yang mencemaskan dan menakutkan, untuk menggesa mangsa supaya memindahkan wang bagi menyelesaikan isu undang-undang yang palsu. 

Bagaimana ia berfungsi? 
1. Penipu menyamar sebagai pegawai BNM, PDRM, RMCD atau LHDN, dan mendakwa mangsa terlibat dalam isu atau penyiasatan yang serius. Mereka mungkin menampilkan situasi seperti:
a. “Anda sedang disiasat.” 
b. “Anda ada bayaran tertunggak.” 
c. “Ada bungkusan untuk anda yang belum diambil.” 
d. “Anda telah memenangi hadiah wang tunai atau loteri.” 
2. Penipu mungkin membuat ancaman palsu untuk menakutkan dan mencemaskan mangsa. Mereka mungkin mendakwa: 
a. “Ada perintah mahkamah terhadap anda.” 
b. “Pihak berkuasa telah membekukan akaun bank anda.” 
3. Mereka mendesak mangsa untuk memindahkan wang dengan segera, supaya dapat mengelakkan tindakan keras seperti ditangkap atau dihukum. 
4. Setelah mangsa memindahkan wang, penipu akan menghilangkan diri, dan mangsa akan menyedari bahawa tiada isu atau penyiasatan undang-undang yang sebenarnya. 

Apakah yang perlu saya buat? 
1. Jika anda menerima panggilan seperti itu, jangan panik. Tamatkan panggilan dan sahkan maklumat itu dengan menghubungi terus agensi rasmi melalui nombor rasminya atau melawati laman web rasminya. 
2. Tolak sebarang permintaan untuk membuat pembayaran segera dan dapatkan penjelasan daripada sumber rasmi. 
3. Laporkan panggilan itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan jika anda mengesyakinya sebagai penipuan.